HIDUP tidak selalunya indah, langit tidak selalunya cerah. Begitulah
perumpamaan yang boleh aku tujukan untuk diriku. Kadang-kadang terlintas di hati, apakah
salah dan dosaku sehingga aku diuji begini? Terpaksa melalui hari-hari yang mendatang penuh
dengan penipuan dan kelukaan. Sungguh tidak kusangka, badai yang suatu ketika dahulu pernah
bertandang dalam hidupku, kini kembali menyapa. Entah apalah silapku sehingga begini diriku
diuji.
Terbayang di ruang ingatanku, wajah lelaki yang sudah lama ingin kulupakan. Semenjak
keluarga lelaki itu datang merisikku tujuh tahun lepas, percaturan hidupku berubah. Semuanya
ibu dan abah yang tentukan. Aku langsung tidak diberi ruang untuk membuat pilihan. Kadang-
kadang aku rasakan diriku ini tidak layak untuk membuat keputusan sendiri. Walaupun ia
sebenarnya berkaitan dengan hidup dan masa depanku. Sedangkan pada waktu itu usiaku sudah
menjangkau dua puluh tiga tahun. Rasa kecewa dan jauh hati hanya kusimpan kemas dalam
lipatan sanubari. Tiada seorang pun yang tahu betapa seksa hidupku selepas tarikh itu.
Kalaulah aku tidak bertemu kembali dengan Nisa, bekas adik iparku itu... sudah tentu
aku tidak perlu melalui semua ini. Terpaksa berdepan dengan lelaki yang amat aku benci!!! Tapi
apakan daya, takdir penentu segala.
Hidupku kembali hilang keceriaannya semenjak tiga bulan lepas....
“Ini Kak Ifa, kan?” tegur satu suara. Aku yang leka memilih makanan waktu itu segera
berpaling. Sedikit kaget.
Gadis itu tersenyum riang. Menampakkan giginya yang putih berseri.
“Nisa?”
“Ya Allah Kak Ifa, akak pergi mana selama ni? Langsung tak dapat dijejak!” ucapnya
lantas memelukku.
Aku kaget! Pinggan yang penuh berisi, hampir terlepas dek terkejut dengan tindakannya.
Malu juga apabila banyak mata memandang ke arah kami berdua. Setelah agak lama barulah dia
melepaskan aku.
“Akak pergi mana selama ni?” tanya Nisa lagi.
“Akak sambung belajar Nisa. Kat London.”
“Kenapa tak contact kami langsung? Kalau ya pun marahkan abang, janganlah sampai
kami disisihkan....”
“Tak, akak tak bermaksud begitu. Errr… kita cari tempat, Nisa. Susah cakap kat sini.”
Nisa lantas bersetuju dengan sarananku. Kami mengambil tempat yang sedikit tersorok.
Mudah untuk kami berbual. Waktu makan tengah hari itu dipenuhi dengan menjawab soalan-
soalan Nisa yang tidak henti-henti keluar dari mulutnya. Tetapi semua itu hanya berkisarkan
kehidupan yang aku jalani dalam tempoh lima tahun selepas berpisah dengan abangnya.
Sesekali Nisa ada juga bertanyakan perihal aku dengan abangnya. Tetapi aku hanya
mendiamkan diri. Bagiku sudah tidak ada keperluan untuk aku menjawabnya. Semuanya sudah
berlalu. Aku tidak mahu mengingatinya lagi. Dan bekas adik iparku itu seolah-olah
memahaminya.
Kami berpisah apabila waktu makan tengah hari tamat. Sebelum berpisah, Nisa ada
meminta nombor telefon dan alamatku. Aku terpaksa turutkan kerana tidak mahu
menghampakannya. Sangkaku itu adalah kebetulan dan tidak mungkin ada apa-apa yang akan
berlaku selepas pertemuanku dengan Nisa. Tetapi nampaknya lain pula yang terjadi. Keesokan
harinya aku telah dihubungi oleh seorang wanita yang cukup aku kenal. Walaupun sudah lima
tahun berpisah tetapi kelembutan suaranya masih jelas di ruang ingatanku. Itulah bekas ibu
mentuaku, Puan Maria. Terlintas di fikiranku, tentulah Nisa yang memberikan nombor telefonku
kepadanya.
Lama aku berbual dengan bekas ibu mentuaku itu. Wanita itu tidak membenarkan aku
meletakkan telefon. Rindu padaku katanya. Ah, sesungguhnya aku turut merinduinya.
Selepas puas berbual, Puan Maria meminta untuk berbual dengan ibu pula. Aku hanya
turutkan kehendak Puan Maria. Selepas itu aku tinggalkan ibu di situ. Malas hendak ambil
pusing akan perbualan mereka berdua. Hal orang tua-tua tidak elok kalau orang muda masuk
campur. Lagipun aku sendiri perlu melakukan persediaan untuk mengajar esok.
SEKALI lagi ia tidak berhenti di situ saja. Keesokan harinya selepas pulang ke rumah, ibu
meminta aku ke ruang tamu. Kulihat abah sudah sedia menunggu. Aku hanya duduk tanpa
banyak soal. Selepas mendengar kata-kata ibu, aku seakan terhenyak di tempat duduk. Kata ibu,
Puan Maria mengajak kami ke rumahnya pada hujung minggu ini. Dan mereka telah pun
bersetuju. Puas aku memberi alasan untuk mengelak, tetapi tidak diterima oleh ibu dan abah.
Mereka memang beria-ia hendak aku turut serta. Akhirnya selepas berlaku perang mulut antara
aku dengan ibu dan abah, barulah aku bersetuju.
Seperti biasa, jika melibatkan keluarga itu, aku pasti tidak akan dapat membuat
keputusan sendiri. Semuanya ibu dan abah yang tentukan. Aku hanya mengeluh, lalu membawa
diri ke laman. Tidak tahu berapa lama aku duduk di situ melihat keindahan langit yang ditaburi
bintang-bintang bergemerlapan. Cuba meredakan kedukaan yang bersarang di hati.
“Hai, anak ibu menungkan apa tu?”
Tiba-tiba suara lembut menyapa pendengaranku. Lantas aku hadiahkan senyuman manis
untuknya. Walaupun hati dilanda duka, tetapi untuk menyakitkan hatinya tidak sama sekali.
“Tak ada apalah ibu. Saja Ifa ambil angin kat luar ni. Kenapa ibu tak tidur lagi? Dah
lewat ni.”
“Tau pun dah lewat. Habis tu, kenapa Ifa tak tidur lagi? Esokkan nak bangun awal?”
tanya ibu sambil melabuhkan punggungnya di sebelahku.
Aku hanya mendiamkan diri. Perlukah aku ke sana? Hatiku memang membantah keras.
Tetapi kata ibu dan abah bukan boleh dibantah. Pasti aku akan dimarahi mereka. Tidak
dinafikan, ibu dan abah memang orang tua yang baik. Begitu juga dalam hal yang satu ini, aku
tidak boleh melawan cakap mereka. Jika tersilap kata buruk padahnya.
Kadang-kadang aku terfikir apalah yang membuatkan mereka begitu menyanjungi
keluarga bekas menantu mereka itu? Sedangkan hakikat penceraian kami sudah jelas benar.
Lelaki keparat itu yang menceraikan aku kerana aku ini hanyalah pilihan keluarga dan bukanlah
pilihan hatinya. Aku ini gadis yang kolot dan selekeh. Tidak seperti Anne, teman wanitanya itu.
Wanita seksi yang begitu bergaya.
“Kenapa Ifa diam aje? Ada yang tak kena ke?”
0 komentar
Posting Komentar
Terima kasih telah mengunjungi Blog kami.
Dan di mohon komentarnya. demi perkembangan blog ini ke depannya....